Rabu, 20 Mei 2009

Salam ukhuwwah untuk semua.
Belum terlambat untuk saya mengucapkan "Selamat Hari Guru" untuk semua pendidik di tanahair termasuklah saya sendiri. Semoga kita semua terus bersemangat mendidik anak bangsa ke mercu kejayaan dunia akhirat, rohani jasmani.
Kerjaya ini bukan suatu yang mudah. Bahkan dalam keadaan dan suasana sosial kita sekarang, kerjaya inilah yang paling mencabar dan menjadi kayu ukur kejayaan sesuatu bangsa dan negara. Sebab apa saya berkata begitu, kegagalan dalam mendidik adalah punca kejatuhan dan kehancuran sesuatu tamadun dan begitulah sebaliknya.
Guru atau pendidik bukan sekadar menjadi pengantara ilmu/buku dan pelajar-pelajar. Bahkan kita adakah pembentuk shakhsiah atau jati diri anak bangsa kita. Pepatah melayu mengatakan, 'kalau guru kencing berdiri, murid kencing berlari'. Begitu ringkas, tetapi penuh dengan makna dan maksud tersirat. Tidak cukup dengan hanya mengajar sesuatu perkara di dalam buku, pemahaman dan penghayatan adalah lebih utama. Kemuncaknya, adakah anak-anak didik kita dapat mengaplikasi ilmu yang kita curahkan? bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi juga dapat menyumbang ke arah pembangunan keseluruhan. Lagi penting atas segalanya, dengan ilmu yang berbekal di dada mereka, ia dapat membentuk peribadi mereka menjadi insan yang lebih bertaqwa kepada Maha Pencipta, soleh kepada orang tua mereka, hormat kepada saudara-saudara mereka, dan menjadi ejen dalam mewujudkan situasi muhibbah dan harmoni dalam kelompok masyarakat keseluruhannya.

Selasa, 21 April 2009

Salam semua

Sudah hampir sebulan saya tidak menitipkan kata-kata dalam blog yang tidak seberapa ini. Bukan tidak mahu menulis, tetapi kekontangan idea dan fakta. Bapa pernah berpesan, "Kalau kamu dah kaya esok, jangan lupa kepada orang yang pernah tolong kita". Itulah kata-kata yang sedikit sebanyak mendorong saya untuk cekal dan kuat untuk belajar. Bukan untuk memburu kekayaan, tetapi untuk memperbaiki taraf hidup diri dan keluarga.

Semangat tolong menolong memang sesuatu yang mulia. Tidak kira apa bentuk pertolongan, janji ia dapat memudahkan dan meringankan beban orang yang memerlukan. Dalam dunia ini, ada golongan yang kaya berada, dan ada yang serba kurang miskin papa. Golongan kaya janganlah mendabik dada bahawa kekayaan itu hak mutlak mereka semata-mata. Janganlah menafikan hak-hak golongan kurang bernasib baik dalam sebahagian harta-harta mereka. Saya begitu hairan, kenapa berbelanja untuk barangan ribuan harga begitu mudah dan senang belaka. Tetapi, sungguh menyedihkan kerana mereka begitu liat dan kikir untuk menghulurkan seringgit dua untuk anak-anak yatim, orang-orang susah, pembinaan rumah kebajikan, surau dan lain-lain untuk kepentingan bersama. Pernah saya lihat, seorang budak (mungkin dari rumah anak yatim atau maahad tahfiz) menjual kalendar dan minyak ubat. Bukan kata orang kaya itu hendak membeli atau sedekah seringgit dua, malah dimarah dan dihalaunya budak itu dari situ kononnnya mengganggu makan malam mereka. Banyak cerita-cerita sebegini yang berlaku depan mata saya, tetapi apakan daya hendak membantu semuanya saya pun kurang juga segala. Saya hanya meghulurkan apa yang termampu dan terdaya. Dalam hati terdetik, pabila saya sudah kaya, akan saya bantu golongan yang sebegini nasibnya.

Memang hidup atas dunia, ada yang kaya dan ada yang papa. Kalau tidak, masakan Allah mewajibkan zakat dan Rasul menekankan sedekah. Tujuannya untuk mengagihkan harta daripada si kaya kepada yang kurang berada nasibnya. Tetapi, manusia mudah lupa. Bila sudah kaya, mula lupa Tuhan, lupa diri dan lupa segala. seolah hanya mereka yang wujud atas muka bumi ini. Segala macam masalah berpunca daripada kemiskinan dapat dirungkai dan diatasi sekira yang kaya ingat akan tanggungjawabnya, bermurah hati tak kira tempat dan masa, membantu seikhlas hati dan jiwa, dan rela memberi apa saja demi kebaikan insan semua. Si miskin papa pula bukan hanya terus menerima, bahkan terus berusaha sedaya kudrat mereka untuk meningkatkan taraf kehidupan ke tahap yang setinggi mana, yang akhirnya dapat menyumbang kepada pembangunan orang lain pula. Sekiranya kedua-dua pihak saling beringat dan terus berusaha, Insyaallah maka akan amanlah dunia sampai bila-bila.

Isnin, 23 Mac 2009

Salam ukhuwwah
Pepatah Melayu ada mengata 'Kita hanya merancang, tapi Tuhan menentukan'. Dalam hidup ini, tak semua benda yang kita inginkan, akan tercapai. Dalam pada itu, ada pun yang tercapai bukan pada masa yang kita rancang. Siapa yang dapat melawan takdir? tak seorang pun. Walau sebijak manapun kita, walau secekap manapun kita, walau apa pun kelebihan kita, takdir memang tetap tak dapat ditolak. Inilah yang terjadi dalam kehidupan kita seharian. Manusia ada terlalu sombong, berlagak dan gah bahawa apa yang mereka rancang dan kehendaki, pasti berlaku. Manusia sebegini adalah golongan yang tidak percayakan takdir dan menyangkal wujudnya satu Kuasa yang Maha hebat yang bila-bila bole meruntuhkan kononnya perancangan hebat mereka. Golongan sebegini tak dapat menerima kenyataan sekiranya hasil yang mereka dapat tak seperti yang dirancang dan dijangkakan. Mereka asyik menyalahkan itu dan ini. Tapi kesalahan dan kekurangan diri tak dihitungi.

Ahad, 22 Mac 2009

Muhasabah Diri


Terkadang kita menyangka apa yang kita lakukan semuanya betul. Memang betul, betul pada mata dan pandangan kita. Sebenarnya dalam hidup ini, apa yang kita perkatakan dan perlakukan memberi kesan dan tempias kepada insan yang berada di sekeliling kita. Oleh itu, apa jua yang hendak kita lakukan mestilah mengambil kira apa tanggapan dan reaksi orang yang terlibat. Jangan jadi macam sesetengah pihak, yang suka-suka menetapkan sesuatu perkara tanpa mengambil kira akibatnya terhadap orang lain yang tidak boleh bersuara. Apa yang penting bagi mereka, hasrat mereka tercapai dan nama mereka terpahat meskipun orang lain menjadi mangsa dan merana.