Selasa, 21 April 2009

Salam semua

Sudah hampir sebulan saya tidak menitipkan kata-kata dalam blog yang tidak seberapa ini. Bukan tidak mahu menulis, tetapi kekontangan idea dan fakta. Bapa pernah berpesan, "Kalau kamu dah kaya esok, jangan lupa kepada orang yang pernah tolong kita". Itulah kata-kata yang sedikit sebanyak mendorong saya untuk cekal dan kuat untuk belajar. Bukan untuk memburu kekayaan, tetapi untuk memperbaiki taraf hidup diri dan keluarga.

Semangat tolong menolong memang sesuatu yang mulia. Tidak kira apa bentuk pertolongan, janji ia dapat memudahkan dan meringankan beban orang yang memerlukan. Dalam dunia ini, ada golongan yang kaya berada, dan ada yang serba kurang miskin papa. Golongan kaya janganlah mendabik dada bahawa kekayaan itu hak mutlak mereka semata-mata. Janganlah menafikan hak-hak golongan kurang bernasib baik dalam sebahagian harta-harta mereka. Saya begitu hairan, kenapa berbelanja untuk barangan ribuan harga begitu mudah dan senang belaka. Tetapi, sungguh menyedihkan kerana mereka begitu liat dan kikir untuk menghulurkan seringgit dua untuk anak-anak yatim, orang-orang susah, pembinaan rumah kebajikan, surau dan lain-lain untuk kepentingan bersama. Pernah saya lihat, seorang budak (mungkin dari rumah anak yatim atau maahad tahfiz) menjual kalendar dan minyak ubat. Bukan kata orang kaya itu hendak membeli atau sedekah seringgit dua, malah dimarah dan dihalaunya budak itu dari situ kononnnya mengganggu makan malam mereka. Banyak cerita-cerita sebegini yang berlaku depan mata saya, tetapi apakan daya hendak membantu semuanya saya pun kurang juga segala. Saya hanya meghulurkan apa yang termampu dan terdaya. Dalam hati terdetik, pabila saya sudah kaya, akan saya bantu golongan yang sebegini nasibnya.

Memang hidup atas dunia, ada yang kaya dan ada yang papa. Kalau tidak, masakan Allah mewajibkan zakat dan Rasul menekankan sedekah. Tujuannya untuk mengagihkan harta daripada si kaya kepada yang kurang berada nasibnya. Tetapi, manusia mudah lupa. Bila sudah kaya, mula lupa Tuhan, lupa diri dan lupa segala. seolah hanya mereka yang wujud atas muka bumi ini. Segala macam masalah berpunca daripada kemiskinan dapat dirungkai dan diatasi sekira yang kaya ingat akan tanggungjawabnya, bermurah hati tak kira tempat dan masa, membantu seikhlas hati dan jiwa, dan rela memberi apa saja demi kebaikan insan semua. Si miskin papa pula bukan hanya terus menerima, bahkan terus berusaha sedaya kudrat mereka untuk meningkatkan taraf kehidupan ke tahap yang setinggi mana, yang akhirnya dapat menyumbang kepada pembangunan orang lain pula. Sekiranya kedua-dua pihak saling beringat dan terus berusaha, Insyaallah maka akan amanlah dunia sampai bila-bila.

2 ulasan:

  1. Dah gempak dah. Akan datang cubala seimbangkan setiap catatan senadakan panjang catatan. Tak tahula berkesan ke tak macam ni sekadar pandangan.

    BalasPadam
  2. terima kasih atas pandangan dan ulasan, lain ketika akan dicuba dengan lebih berkesan.

    BalasPadam